SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG
~selamat datang ~

7/09/11

UNIKNYA HARI RAYA DI SARAWAK


JIKA suku Rawa di Pahang dan Perak cuba mengekalkan tradisi kelemai iaitu sejenis juadah istimewa yang diperbuat daripada pulut, tetapi berintikan gula Melaka, seakan-akan lemang, sempena Syawal, masyarakat Melayu di Sarawak pula
memastikan pelbagai jenis kek lapis terhidang di meja sebagai tanda meraikan tetamu.
Ketua Satu Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA), Jaafar Hamdan, 42, berkata keunikan kek lapis Sarawak yang menjulang nama negeri itu di seluruh pelosok negara, hatta ke mata dunia sehingga ia menjadi hidangan wajib di meja untuk setiap umat Islam ketika meraikan hari raya sebagai tanda meraikan tetamu. “Memang tidak cukup syarat jika makanan disajikan kepada tetamu tanpa adanya kek lapis yang disediakan dan paling sedikit tujuh hingga kelapan jenis bagi setiap rumah. Ada sesetengah rumah menyediakan dua meja kecil hanya memuatkan kek lapis pelbagai perisa seperti horlick, coklat, masam manis dan kopi,” katanya ketika dihubungi Sastera, baru-baru ini.

Selain itu, tambah beliau hidangan rendang, ketupat dan lemang kebiasaannya hanya boleh didapati di Sarawak pada hari raya pertama saja, manakala pada hari raya berikutnya, hidangan ringkas seperti kek dan biskut raya menjadi menu utama.

Menambah keunikannya, di Sarawak jarang tetamu dihidangkan dengan minuman panas seperti teh dan kopi atau sirap yang sinonim dengan masyarakat Melayu, sebaliknya air berkarbonat atau bergas yang tidak perlu dibancuh kerana sudah menjadi amalan setiap kali menyambut kedatangan Syawal.

Selain daripada keunikan juadah sempena Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di Sarawak juga terus berusaha memelihara acara bertuntung, sempena bulan yang mulia itu sehingga setiap menjelang Syawal menjadi suatu yang ‘wajib’ diadakan pesta bertuntung.
“Tradisi bertuntung terus dipelihara oleh masyarakat di Sarawak termasuk di kampung halaman saya. Menjelang 10 hari sebelum raya, setiap rumah akan sibuk menghias rumah masing-masing dengan pelita yang diperbuat secara tradisional atau moden.

“Lebih menarik, tradisi bertuntung kini dijadikan sebagai satu pertandingan di antara kampung. Setiap kampung perlu membina pintu gerbang yang selalunya diperbuat daripada buluh dan kemudiannya dihias mengikut kreativiti masing-masing menggunakan lampu pelita di sekelilingnya,” katanya yang masih bergiat aktif dalam dunia penulisan esei, cerpen dan puisi.

Bagi Jaafar pesta bertuntung tahun ini lebih istimewa memandangkan bukan saja Syawal diraikan, tetapi kemerdekaan jatuh pada Aidilfitri kedua dan pastinya selain memasang pelita, bendera Malaysia akan turut berkibar di setiap pintu gerbang dan menambahkan kemeriahan suasana hari raya dan kemerdekaan negara yang ke-54.

Selain bertuntung, masyarakat di kampung Jaafar turut memastikan majlis tahlil atau doa selamat sejurus selepas selesai menunaikan sembahyang sunat hari raya dan berkunjung ke rumah sanak-saudara mahupun jiran tetangga serta bermaaf-maafan di antara ahli keluarga hanya akan dilakukan sebaik saja majlis tahlil selesai.

“Kebiasaannya, tiga rumah akan bergabung mengadakan satu majlis tahlil dan orang kampung akan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil untuk memastikan semua rumah sempat dikunjungi pada hari raya pertama. Hanya pada hari raya kedua barulah kami berpeluang berziarah dari rumah ke rumah untuk berhari raya,” katanya.

Bagi Jaafar sambutan hari raya di Sarawak lebih dirasai kerana jika di tempat lain pakaian tradisional seperti baju Melayu dan baju kurung hanya digayakan pada raya pertama, di Bumi Kenyalang pemakaian busana tradisional itu digayakan tanpa segan silu sehingga ke hari ketujuh, walaupun sekadar menunggu saudara-mara datang berziarah.