SETAKAT mana tersentuh atau terburainya kebudayaan sesuatu bangsa manakala ditakluki kuasa asing? Setakat mana juga golongan intelek dan para penulis yang dijajah bertindak untuk memelihara budaya bangsa sendiri?
Yang berlaku bukan sahaja ke atas bangsa yang serba mundur seperti di benua Afrika, Asia dan Amerika Selatan. Ia juga berlaku ke atas negara yang sama maju dengan negara yang mengalahkannya seperti manakala Nazi Jerman menewaskan negara Perancis pada tahun 1940 semasa Perang Dunia Kedua.
Lalu disebut betapa dengan ketewasan itu bangsa Perancis kehilangan pelbagai yang menjadi asas kekuatan mereka, termasuk kebanggaan dengan Revolusi Perancis. Juga melemahkan negara mereka ialah kemelut politik yang berlarutan.
Berperanan sedikit sebanyak ialah Jean-Paul Sartre, kemudiannya menjadi novelis penulis esei, pensyarah dan ahli falsafah. Beliau mulanya dikerah berkhidmat dalam pasukan tentera hingga menjadi tawanan perang tentera Jerman. Sartre kemudian menyertai gerakan bawah tanah tetapi gagal memujuk beberapa penulis terkemuka menyertainya. Antara mereka ialah Andre Gide dan Andre Malraux yang disanjungi ramai.
Timbul pertanyaan kemudiannya adakah kerana hal tersebut Sartre menjadi penyokong utama FLN, pejuang bangsa Algeria yang memberontak terhadap penjajahan Perancis hingga akhirnya mencapai kemerdekaan? Menyokongnya di waktu itu ialah penulis ulung, Bertrand Russell. Sartre juga menentang penjajahan Perancis di Vietnam. Menjadi bahan penyelidik pada masa lampau ialah kesan-kesan pelbagai penaklukan oleh sejarawan Thomas Sewell dalam bukunya Conquests and Cultures. Lantas dicatat pada permulaannya: We do not live in the past, but the past is in us.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan