Kisah tokoh Barat peluk Islam
SYABAS Utusan Malaysia kerana menyiarkan berita bergambar bekas johan tinju dunia Mike Tyson alias Malik Abdul Aziz mengerjakan umrah di Mekah Madinah. Air mata Tyson gugur di Kaabah, demikian tajuk berita.
“Saya tidak mampu menahan air mata ketika mengetahui saya berada di salah satu taman-taman syurga (raudah),” ujarnya dengan penuh terharu.
Beliau memeluk agama Islam pada tahun 1995 dan sejak itu mahu dikenali dengan nama Malik Abdul Aziz. Perjalanan hidupnya sebagai seorang Islam tidak diketahui umum. Malah, menurut laporan lanjut, ada pihak berusaha supaya ia kembali ke agama asal.
Sejak memeluk Islam beliau pernah menyatakan bahawa yang paling ditakutinya ialah Allah swt. “Saya takut kepada Allah. Saya tahu saya banyak buat perkara yang jahat dan salah yang kesemua itu melayakkan saya masuk neraka sahaja. Namun saya memohon keampunan daripada-Nya setiap hari.”
Beliau mengerjakan umrah pada awal Julai dengan kerjasama Pertubuhan Dakwah Kanada (CDA). Dan dengan itu berada di Tanah Suci selama sebulan. Bagi Tyson 44 tahun, ia kesempatan menemui para pemimpin dan tokoh-tokoh agama serta menziarahi tempat-tempat bersejarah.
Gambar-gambar yang diambil dan ada yang dikirim melalui twitter jelas menunjukkan wajah gembiranya di hadapan Kaabah. Ada antara yang mengenalinya mendoakan semoga ia terus teguh iman seperti Bilal.
Laporan mengenainya tidak pula disiarkan oleh sesetengah akhbar, majalah dan siaran televisyen dunia Barat yang dahulunya begitu cepat melaporkan segala tindak-tanduknya. Dan tersebut kemudian gelaran Iron Mike, Kid Dynamite, Baddest Man in the Planet.
Mendahuluinya ke tanah suci ialah tokoh tinju dunia Mohammad Ali dan Malcolm X (1925-1965) Haji Malik al-Shabazz, pejuang nasib warga kulit hitam ketika berlakunya diskriminasi antara kaum secara berleluasa.
Laporan mengenai umrah oleh Tyson disebarkan setelah Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang melarang wanita Islam memakai burqa dan ini mahu diikuti oleh negara Belgium.
Sebelum ini ialah larangan di Switzerland mengenai pembinaan menara masjid. Keluhan mengenainya disuarakan oleh Tariq Ramadan, sarjana pengajian Islam di Universiti Oxford.
Ramadan, seorang warga Swiss, menulis: “Hanya empat sahaja menara masjid di Switzerland. Kenapa tindakan ini berlaku? Negara saya, sebagaimana pelbagai negara di Eropah menghadapi reaksi warga Islam Eropah. Beberapa negara Eropah mempunyai simbol atau topik yang melaluinya warga Islam Eropah menjadi sasaran. Di negara Perancis ialah burqa atau tudung muka, di negeri Jerman masalah masjid-masjid, di Britain berita-berita keganasan, di Denmark pelbagai kartun menghina Nabi Muhammad.” Demikian kritik dari Ramadan.
Sebelum ini ialah sesuatu yang diceritakan oleh Reza Aslan, sarjana pengajian Islam Universiti Lowa. Amerika dalam bukunya berjudul No God But God (Arrow Books).
Kisah bermula mengenai satu peristiwa waktu malam ketika menjadi penumpang keretapi perjalanan selama lima jam di Maghribi. Dari bilik tidurnya ia mendengar pergaduhan di antara konduktor dengan seorang penumpang di bilik lain.
Ia terpaksa menyiasat dan mendapati seorang penumpang lelaki Amerika bernama Malcolm menjawab beberapa pertanyaan. Bersamanya seorang wanita Amerika bernama Jennifer. Perselisihan berlaku kerana konduktor keretapi curiga setelah melihat mereka membawa terjemahan Kitab Injil dalam bahasa Arab untuk diberi percuma kepada orang-orang Maghribi.
“Anda mahu satu naskah?” Jennifer lalu bertanya.” Kami sedang membahagi-bahagi kitab ini.”
Rahsia
Penulis Reza Aslan mencatat pelbagai hal yang berlaku selepas Peristiwa 11 September, 2001 di New York. Berikutan itu kemudiannya ada pendakwah Kristian mengajar para pendakwah mereka supaya bergerak secara rahsia ketika berada di negara Islam dengan menyamar diri sebagai orang Islam, termasuk memakai tudung. Malah juga berpuasa dan mendirikan sembahyang sebagai orang Islam.
Lain cerita disiarkan oleh Reader’s Digest terbitan bulan Jun 2010 mengenai penyanyi popular Inggeris. Cat Stevens yang kemudian memeluk agama Islam. Beliau mulanya bercerita pengalamannya berenang di pantai Malibu, Amerika pada tahun 1976. Laut yang tenang airnya kemudian menjadi ombak besar dan ia tidak dapat berenang ke pantai. Beliau serta-merta berdoa: “Wahai Tuhan, selamatkan diriku dan aku akan berkhidmat untuk Tuhan.” Beberapa ketika berikutnya ombak laut yang tenang membawanya ke pantai.
Cat Stevens pada suatu hari menerima hadiah Quran dari adiknya “yang kemudian mengubah sama sekali kehidupan saya.” Hadiah diberi kerana ulang tahun hari jadinya.
“Saya telah pun mengkaji pelbagai agama lain dan juga falsafah, tetapi yang dihadiahkan itu memperlihatkan segalanya... saya memeluk agama Islam pada tahun 1977 dan menukar nama pada tahun 1978,” Yusof Islam menyambung cerita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan