Bangsa Melayu Jangan Jadi Begini
Beriman di mulut, hati berlumut
beriman di lidah, hati menyalah
lidah bercabang, langkah menyilang
cakap berlecoh, perangai tak senonoh
tamak harta, mabuk dunia
laba pangkat, lupa akhirat
kemaruk puji, lupa diri.
Bangsa melayu Jangan Jadi Begini
Ke tengah memfitnah, ke tepi mendengki
ke laut menghasut, ke darat mengumpat
ke hulu menipu, ke hilir menyindir
ke atas mengampu, ke bawah melapah
ke gunung menyombong, ke lurah menista
berkawan dengan setan, berguru pada nafsu
beraja pada selera, bersahabat pada maksiat
berlabuh pada yang tak senonoh
berhenti pada yang keji.
Bangsa Melayu Jangan Jadi Begini
bergantung pada yang serong
berpijak pada yang merosak
bersandar pada yang ingkar
berumah pada yang salah
aniaya pada saudara
khianat pada sahabat
iri kepada isteri
muak ke orang banyak
derhaka ke orang tua
menghina pada yang muda
mencerca sama sebaya
bekerja malas, memimpin culas
bersusah malu, berpahit tak mahu.
jadilah bangsa yang bersopan
jadilah bangsa yang berbudi tinggi
jadilah bangsa yang pentingkan kemuliaan
jadilah bangsa yang berhemah mulia
jadilah bangsa yang berpegang kepada kekeluargaan
jadilah bangsa yang cintakan muafakat
jadilah bangsa yang sentiasa mahu berbakti
jadilah bangsa yang fikirkan cemerlang dunia dan akhirat
tuah ayam pada sisiknya
tuah manusia pada baiknya
tuah kain pada tenunnya
tuah kayu pada elok buahnya
tuah melayu elok maruahnya..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan